Karangan Naratif: Harapkan Pagar (Pegar), Pagar Makan Padi

Loceng sekolah berbunyi menandakan sekolah sudah tamat. Cikgu Aini menyuruh murid-murid beratur di hadapan kelas sebelum dibenarkan bersurai. Beberapa minit kemudian, aku pun sampai di pintu pagar utama sekolah untuk menunggu Farah. Sekonyong-konyongnya, fikiranku melayang jauh mengenangkan peristiwa pahit yang menimpa diriku setahun yang lalu. 

Kelab Hijau di sekolah kami telah menganjurkan sebuah pertandingan melukis bertemakan ‘Alam Sekitar’. Pemenang tempat pertama akan menerima sebuah trofi dan wang sebanyak $100. Aku dan Farah, kawan rapatku sejak aku melangkah masuk ke alam sekolah menengah, sangat ghairah lalu mendaftarkan diri untuk menyertai pertandingan itu. Meskipun aku akui kawanku itu juga berbakat dalam seni lukisan, aku yakin aku akan menang. 

Ketika aku hendak menghantarkan lukisanku kepada Cikgu Jamal, guru Kelab Hijau, telefon bijakku berbunyi. Dalam tangisan, ibu memberitahuku bahawa ayah telah dikejarkan ke hospital akibat terkena serangan jantung. Tanpa membuang masa, aku mengemas beg sekolahku. Sebelum ke hospital, aku mengamanahkan Farah untuk menghantarkan lukisanku kepada Cikgu Jamal. 

Semasa perhimpunan pagi pada minggu seterusnya, Cikgu Jamal naik ke pentas untuk mengumumkan pemenang bagi pertandingan lukisan itu. Hatiku berdebar-debar. Aku telah bayangkan senyuman bangga ibu dan ayahku yang sedang berehat di rumah. 

“Pemenang untuk pertandingan lukisan ini ialah Farah!” umum Cikgu Jamal. Tepukan gemuruh mengisi dewan sekolah. Hati Farah mekar dengan kegembiraan kerana kawan-kawan di sekelilingnya berulang-ulang kali mengucapkan tahniah. Aku hanya mampu tersenyum atas kemenangan rakan karibku itu.

“Mari kita lihat lukisan Farah. Cikgu harap pelajar-pelajar lain akan terdorong untuk menghasilkan lukisan secantik lukisan Farah, ya!” Aku lihat wajah Farah tiba-tiba berubah. Cikgu Jamal menayangkan lukisan Farah di layar untuk tatapan semua orang. 

Alangkah terperanjatnya aku apabila aku melihat lukisan yang aku serahkan kepada Farah itu dipancarkan pada layar! Aku toleh ke arah Farah. Kemarahan terpancar di mukaku. Harapkan pagar, pagar makan padi! Hatiku hancur. Farah hanya tertunduk diam. 

Dalam perjalanan ke kantin, Farah menggenggam erat tanganku. Aku cuba melepaskan genggamannya tetapi dia benar-benar ingin aku dengar penjelasannya. 

“Aku minta maaf, Diana. Aku terpaksa melakukan perkara itu kerana aku terdesak untuk mendapatkan wang $100 itu. Bila aku lihat lukisan engkau, aku tahu peluang aku untuk menang sangat tipis. Oleh itu aku tukar nama engkau kepada namaku. Aku minta maaf!” katanya sambil menangis teresak-esak.

Sejak hari itu, setiap kali kami terserempak, dia akan meminta maaf berulang-ulang kali. Walaupun hatiku sebak menanggung kecewa, aku memaafkannya dan telah memberinya peluang kedua. Manusia mana yang sunyi daripada melakukan kesilapan kesalahan dan kesilapan. Bagiku yang penting, Farah menyedari kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.