Contoh Karangan Ekspositori: Penggunaan Telefon Bijak

Soalan: Dewasa ini, penggunaan telefon bijak semakin berleluasa dalam kalangan generasi muda. Berikan pandangan kamu.

Pada zaman ini, teknologi telah menjadi semakin canggih dan penting dalam kehidupan manusia. Kini, bukan sahaja orang dewasa tetapi kanak-kanak juga mempunyai telefon bijak ‘touch screen’ seperti Iphone 11 ataupun Samsung Galaxy S10. Kegunaan telefon bijak semakin berleluasa terutamanya dalam kalangan generasi muda. Persoalannya, adakah penggunaan telefon bijak ini bermanfaat untuk generasi muda kita? Saya akan berikan pandangan saya mengenai isu ini. 

Telefon bijak boleh digunakan untuk menyampaikan pesanan dengan lebih cepat. Para pengguna juga dapat berkongsi maklumat dengan sentuhan di skrin sahaja. Kemudahan ini menarik perhatian golongan muda kerana mereka perlu berkomunikasi dengan rakan ataupun guru jika mereka tidak memahami sesuatu perkara ketika melakukan tugasan atau mengulang kaji di luar sekolah. Jika mereka tidak hadir di sekolah, rakan kelas mereka dapat memberitahu mereka tentang tentang tugasan yang perlu mereka siapkan. 

Selanjutnya, golongan muda juga gemar menggunakan telefon bijak kerana mereka boleh memperluaskan rangkaian sosial. Kemudahan ini membolehkan mereka untuk menjalinkan persahabatan dengan pengguna-pengguna dari luar negara merentas waktu ataupun jarak. Golongan muda terutamanya remaja mempunyai ramai kawan yang dikenali melalui laman web yang biasanya berasal dari negara lain. Mereka dapat mengenali dan mendalami cara kehidupan dan budaya melalui perkongsian gambar-gambar dan video. Dengan perkongsian ini, mereka tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana mereka memperoleh banyak pengetahuan tentang cara kehidupan yang berbeza. 

Walaupun telefon bijak mempunyai pelbagai kebaikan, alat canggih ini juga mempunyai keburukannya. Jika seseorang asyik menggunakan telefon bijak, kemampuan mereka untu bersosial akan berkurangan. Mereka akan kurang berinteraksi dengan keluarga atau rakan. Misalnya, jika semua ahli keluarga sedang makan malam bersama-sama, anak remaja yang asyik menggunakan telefon bijaknya tidak akan kongsi tentang kegiatan hariannya mahupun mengikuti perkembangan keluarganya. Perbuatan ini akan merenggangkan perhubungan mereka. 

Selain itu, generasi muda akan mengalami masalah ketagihan terhadap telefon bijak. Mereka sangat bergantung pada alat teknologi ini sehingga tidak dapat berfungsi jika telefon mereka tiada di samping mereka. Di dalam bilik darjah, mereka mudah menjadi resah dan sukar untuk memberikan tumpuan kerana tidak sabar untuk menggunakan telefon bijak. Akibatnya, mata pelajaran mereka juga akan terjejas kerana mereka lebih tertumpu pada penggunaan telefon bijak daripada mengulang kaji pelajaran. 

Natijahnya, telefon bijak mempunyai banyak kebaikan untuk generasi muda. Mereka mudah untuk mendapatkan maklumat dan boleh memperluaskan rangkaian sosial. Namun, kemampuan mereka untuk bersosial akan terjejas dan masalah ketagihan akan timbul jika mereka tidak bijak mendisiplinkan diri dalam penggunaan telefon bijak. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan untuk memantau generasi muda agar mereka menggunakan telefon bijak dengan sebaiknya.