Semenjak aku membuat keputusan itu, keadaan hidupku berubah. Aku tidak sangka keputusan yang aku anggap remeh itu mampu merubah segala-galanya. Kini hidupku serba kekurangan. Semua ini gara-gara kebodohanku yang terlalu mementingkan diri sendiri dan mengejar kebendaan. Aku sungguh menyesali perbuatanku itu tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.
Masih segar lagi di ingatanku, peristiwa yang aku alami dua tahun yang lalu. Aku pengurus syarikat yang terkenal. Oleh kerana itu, aku menjadi sombong dan bongkak. Aku sering menyuruh pekerja-pekerjaku bekerja lebih daripada masa yang telah ditetapkan. Ini membuat mereka membenciku. Bagiku, jika tidak dapat apa yang diidamkan, lebih baik mati bak pepatah Melayu, ‘Biar putih tulang, jangan putih mata’.
Setiap hari, aku akan bertungkus-lumus menghabiskan kerja di pejabat, tidak kira siang atau malam. Aku juga tidak menghiraukan mereka yang suka mengata-ngatai diriku ini. Apa yang penting ialah syarikat aku mendapat keuntungan yang besar.
Pada malam itu, aku berasa sungguh letih. Kedengaran bunyi cengkerik memecah keheningan malam dan angin yang meniup sepoi-sepoi bahasa membuat keadaan di dalam rumahku aman dan tenang. Sedang aku menikmati ketenangan itu, tiba-tiba ibuku mengadu dia sakit dada dan menyuruhku menemaninya ke klinik. Oleh kerana terlalu letih setelah penat bekerja di pejabat, aku memberi bermacam-macam alasan dan menganggap sakitnya sebagai satu perkara biasa sahaja. Memang selalu ibu mengadu sakit-sakit dada, tetapi setelah memakan pil Panadol, sakit itu akan pulih. Aku tidak sangka yang sakitnya kali ini amat serius.
Keesokan paginya, aku terperanjat apabila mendapati ibu terbaring di lantai tidak sedarkan diri. Aku menelefon ambulans dan membawanya ke hospital. Aku hampa apabila diberitahu bahawa aku sudah terlambat. Doktor mengesahkan bahawa ibu telah mengalami serangan jantung dan tidak dapat diselamatkan lagi. Aku termenung buat seketika dan tanpa aku sedari, air mata mengalir di pipiku.
Perniagaanku menjadi tidak stabil dan syarikatku mula mengalami kerugian besar. Akhirnya, aku terpaksa gulung tikar. Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi. Pada saat itulah aku amat memerlukan seseorang untuk memberiku perangsang dan dorongan, tetapi sayang, orang itu sudah pergi jauh dari sisi dan tidak akan kembali. Aku seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Aku merasakan seolah-olah hidupku sudah tidak bererti lagi. Mungkin inilah balasan Tuhan kepada aku.
Aku dibaluti perasaan kesal yang tidak terhingga. Aku hanya mementingkan harta dunia dan tidak mengambil berat tentang ibu semasa hayatnya. Ibu, walaupun ibu sudah tiada lagi di alam maya ini, jasamu akan tetap kukenang. Pusaranya akan menjadi tempat aku mengubat rindu. Aku hanya mampu berdoa semoga ibuku ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang mendapat keredaan-Nya.