Soalan: Kerosakan akhlak remaja disebabkan kepincangan keluarga. Bincangkan.
Masalah kerosakan akhlak dalam kalangan remaja bukanlah sesuatu yang baharu. Keruntuhan moral anak-anak muda ini sering dikaitkan dengan masalah kepincangan keluarga. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepincangan membawa maksud kecacatan. Dalam konteks ini, kepincangan keluarga membawa makna keluarga yang tidak mempunyai nilai-nilai kekeluargaan. Oleh itu, ada baiknya kita membincangkan sejauh mana kerosakan akhlak remaja disebabkan kepincangan keluarga.
Masalah kerosakan akhlak dalam kalangan remaja bukanlah sesuatu yang baharu. Keruntuhan moral anak-anak muda ini sering dikaitkan dengan masalah kepincangan keluarga. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepincangan membawa maksud kecacatan. Dalam konteks ini, kepincangan keluarga membawa makna keluarga yang tidak mempunyai nilai-nilai kekeluargaan. Oleh itu, ada baiknya kita membincangkan sejauh mana kerosakan akhlak remaja disebabkan kepincangan keluarga.
Kerosakan akhlak remaja berlaku disebabkan tiada nilai tanggungjawab dalam keluarga. Sesetengah ibu bapa gagal melaksanakan amanah mereka sebagai pendidik utama untuk mendidik anak-anak remaja dari segi moral. Mereka menyerahkan tugas pendidikan moral kepada pihak sekolah. Lebih menyedihkan lagi, ada yang tergamak menunjukkan contoh yang tidak elok di hadapan anak-anak seperti memaki hamun ahli keluarga dan menagih dadah. Justeru, akhlak anak-anak remaja akan runtuh kerana mereka tidak mempunyai panduan untuk membina akhlak yang mulia.
Selanjutnya, ketiadaan nilai hormat dalam sesebuah keluarga juga menjadi punca kerosakan akhlak remaja. Ibu bapa yang tidak menghormati antara satu sama lain akan sering bertengkar di hadapan anak-anak. Malah, terdapat juga ibu bapa yang turut tidak menunjukkan rasa hormat kepada anak-anak dan melontarkan kata-kata negatif yang meruntuhkan keyakinan diri anak-anak. Keadaan ini akan membuat anak-anak remaja menjadi tertekan, bingung bahkan hilang rasa hormat terhadap ibu bapa. Akibatnya, akhlak mereka akan menjadi rosak kerana mereka kerana tidak menghormati orang lain.
Namun, terdapat juga faktor-faktor lain yang turut menjadi punca kerosakan akhlak remaja. Kekurangan atau ketiadaan disiplin diri menyebabkan seseorang remaja tidak mampu mengawal dirinya daripada pengaruh luar. Dia juga lebih suka menuding jari dan mencari kesalahan orang lain daripada ingin bermuhasabah diri dan berusaha untuk menjadi seorang remaja yang berakhlak mulia. Akibatnya, dia tidak mampu untuk menghadapi sebarang ujian dalam kehidupan dan membiarkan masalah keluarga dan pengaruh luar membentuk diri dan akhlak mereka.
Selain itu, pergaulan dengan rakan-rakan yang tidak memberikan kesan positif turut menjadi punca kerosakan akhlak remaja. Hal ini berlaku kerana pemilihan rakan yang dibuat remaja itu tidak berlandaskan kriteria-kriteria positif. Akibatnya, remaja itu mudah terpengaruh dengan perbuatan negatif rakan-rakan seperti ponteng sekolah, menghisap rokok dan membuli rakan-rakan sekolah. Lama-kelamaan, akhlak remaja tersebut akan menjadi rosak dek pencampuran dengan rakan-rakan yang tidak memberikan kesan positif ini.
Natijahnya, benarlah bahawa kerosakan akhlak remaja disebabkan kepincangan keluarga. Ketiadaan nilai tanggungjawab dan nilai hormat telah menyebabkan anak-anak bersikap bebas dalam tindak-tanduk mereka. Namun, kita tidak boleh ketepikan hakikat bahawa terdapat faktor-faktor lain yang turut menyumbang pada gejala sosial ini seperti daya tahan individu dan pengaruh rakan. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat memainkan peranan yang penting dalam menanamkan nilai-nilai murni dalam diri para remaja supaya mereka dapat menjadi generasi pelapis yang berupaya untuk membangunkan negara kita.