Soalan: Pada minggu lepas, Kelab Hijau sekolah kamu telah menganjurkan suatu perkhemahan di Tanah Tinggi Cameron bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar. Gambarkan peristiwa dan perasaan kamu ketika mengikuti perkhemahan itu.
Bulan Jun yang lepas menoktahkan suatu pengalaman berharga buatku. Aku berkesempatan mengikuti program perkhemahan anjuran Kelab Hijau. Seramai 25 orang pelajar dan empat orang guru mengikuti program selama tiga hari dua malam itu. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang perkhemahan tersebut. Antara aktiviti yang paling mencabar dan menarik bagiku ialah aktiviti mendaki Gunung Batu Brinchang, gunung tertinggi di Tanah Tinggi Cameron.
Pendakian kami bermula seawal jam 7.00 pagi pada hari kedua kami di sana. Taklimat diberikan oleh pemandu arah kami, Encik Hamid. Kami dimaklumkan bahawa ketinggian Gunung Batu Brinchang yang akan kami daki itu ialah 2,032 meter dari paras laut. Aku agak waswas dengan kemampuanku untuk mendaki gunung yang setinggi itu namun semangatku begitu membara untuk melakukannya.
Tepat jam 7.15 pagi, rombongan kami bergerak memasuki laluan denai yang akan membawa kami ke puncak. Dapat kulihat keterujaan rakan-rakan ketika melakukan pendakian. Kumpulan mereka berada paling hadapan bersama-sama dengan Encik Hamid. Semakin tinggi pendakian, makin dingin kurasakan.
Peluh yang mengalir menandakan keletihan yang turut menguasai diri. Kami mendaki melalui denai-denai ladang teh yang curam dan sempit. Kecuraman denai itu ditambah dengan laluannya yang licin sememangnya mencabar semangat kami. Sesekali, aku tergelincir juga disebabkan laluan yang licin itu. Beberapa kali Encik Hamid mengingatkan kami agar berhati-hati dan menumpukan perhatian terhadap laluan itu.
Jam menunjukkan hampir pukul 9.00 pagi ketika kami berjaya melepasi rintangan di ladang the itu. Kini, kami terpaksa meredah hutan pula. Sepanjang perjalanan kami di dalam hutan, pelbagai spesis tumbuhan dan haiwan yang agak jarang ditemukan dapat kami lihat. Antaranya ialah pelbagai jenis paku-pakis, balung ayam dan pelbagai jenis serangga. Peluang yang berharga itu kurakam dengan kamera peribadiku.
Akhirnya, setelah empat jam menempuh pendakian yang mencabar itu, sampai juga kami di puncak Gunung Batu Brinchang. Kami terus naik ke menara tinjau yang dibina khusus untuk para pelawat tempat ini. Dari situ, dapat kusaksikan ladang teh dan ladang sayur-sayuran lain yang saujana mata memadang itu. Keindahannya memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Semua pengalaman ini pastinya akan kusimpan dalam ingatanku.