Soalan: Adik kamu mengambil bahagian dalam acara lumba lari semasa hari sukan tahunan sekolahnya. Sebagai kakak, kamu turut hadir untuk memberikan sokongan moral kepada adik kamu itu. Gambarkan peristiwa dan perasaan kamu ketika menghadiri acara itu.
Suasana riuh-rendah ketika saya tiba di padang Sekolah Menengah Temasek pada petang itu. Kibaran bendera yang berwarna-warni menghiasi segenap ruang padang. Memang meriah kelihatannya. Aku mengambil tempat di khemah tetamu. Hasrat di hati ialah untuk memberikan sokongan moral kepada adikku, Ahmad, yang mengambil bahagian dalam acara lumba lari 200 meter.
Temasya sukan bermula dengan acara perbarisan para atlet. Segak dan bergaya sungguh setiap atlet dengan pakaian rumah sukan masing-masing. Ahmad berada di hadapan sekali. Sebagai jagoan dalam acara pecut, adikku itu diberikan penghormatan sebagai pembawa bendera dan sekali gus mengetuai acara perbarisan dan lintas hormat.
Acara trek bermula sebaik sahaja tamat acara perbarisan. Ahmad sedang bersiap sedia di garis permulaan bagi acara 200 meter. Berdasarkan rekod, adikku itu tidak sepatutnya menghadapi sebarang masalah untuk memenangi acara tersebut. Namun begitu, hatiku tetap berdebar-debar.
Dum! Tembakan dilepaskan oleh petugas di garis permulaan. Para atlet memecut sekuat hati. Ahmad agak ketinggalan di belakang. Berdebar-debar hatiku. Jerit pekik dan sorakan penyokong-penyokong bertambah bingit. Laungan “Ahmad! Ahmad! Ahmad!” bergema. Kini, 150 meter sudah dilepasi oleh para peserta. Rasaku, tewas juga adikku kerana peserta pertama semakin mencecah garisan penamat.
Sungguhpun demikian, Ahmad menunjukkan kejaguhannya. Semakin lama, semakin kencang lariannya seperti lipas kudung. Dia berjaya memintas peserta di hadapannya pada saat-saat akhir lalu melintasi garisan penamat sebagai pelari pertama. Gegak gempita seluruh padang itu tatkala Ahmad menundukkan kepalanya melintasi garisan penamat. Kejayaan menjadi miliknya.
Ahmad berjaya memecahkan rekod kejohanan yang merupakan rekodnya sendiri dengan catatan masa 23.1 saat, satu rekod yang aku kira amat membanggakan sebagai seorang pelari amatur yang baru berusia 16 tahun. Laungan dan sorakan untuknya bertambah kuat tatkala dia hadir di atas rostrum untuk menerima kalungan pingatnya.
Pada akhir acara sukan tahunan itu, Ahmad telah diumumkan sebagai olahragawan sekolah terbaik berdasarkan kejayaannya menjuarai acara pecut 200 meter. Dia berjaya mempertahan kejuaraannya dengan rekod baharu. Petang itu membawa seribu kenangan manis kepada Ahmad khususnya dan diri saya sendiri secara amnya.