Contoh jawapan
Daripada: mustaqim@gmail.com
Kepada: jeremy_lee@starlightss.sg
Subjek: Masalah Vandalisme di Sekolah
Pendahuluan
Merujuk kepada perkara yang tertera di atas, saya, Mustaqim, ingin membuat aduan tentang masalah vandalisme yang semakin meningkat di sekolah. Satu kejadian vandalisme telah berlaku di kelas 4 Cheetah pada hari Rabu, 18hb Julai 2015 pada jam tiga petang. Tiga orang pelajar telah bermain bola sepak di dalam kelas semasa guru tidak ada bersama-sama mereka. Akibatnya, banyak kerosakan telah berlaku.
Aduan 1
Pertama, perbuatan para pelajar bermain bola sepak di dalam kelas telah menyebabkan dinding kelas menjadi kotor. Perkara ini amat memprihatinkan kerana ia telah menjejas kebersihan kelas. Pada pandangan saya, para pelajar tersebut sepatutnya mempunyai sifat bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kelas.
Aduan 2
Kedua, tendangan bola sepak oleh salah seorang daripada mereka telah menyebabkan tingkap kaca di kelas itu pecah. Akibatnya, seorang pelajar telah tercedera kerana terkena serpihan kaca tingkap itu. Saya berpendapat bahawa para pelajar itu tidak bertimbang rasa kerana perbuatan mereka telah mengakibatkan kesusahan terhadap orang lain.
Saranan 1
Oleh itu, saya ingin sarankan supaya guru mengambil tindakan disiplin ke atas para pelajar yang terlibat dalam masalah vandalisme ini. Contohnya, guru boleh merampas bola sepak milik pelajar yang terlibat dan memanggil ibu bapa atau waris pelajar untuk datang mengambil bola sepak itu. Dengan cara ini, para pelajar akan lebih berwaspada akan tingkah laku mereka.
Saranan 2
Saranan kedua saya ialah guru boleh menjelaskan kepada para pelajar tentang masalah vandalisme dan akibat melakukan vandalisme. Misalnya, guru boleh menunjukkan contoh-contoh vandalisme dan cara-cara untuk mengelakkannya. Dengan cara ini, para pelajar dapat meningkatkan kesedaran mengenai vandalisme dan akan berusaha untuk berkelakuan lebih baik.
Penutup
Akhir kata, saya berharap semoga Tuan mempertimbangkan isu-isu dan saranan-saranan yang telah saya kemukakan. Terima kasih atas kesudian Tuan membaca e-mel ini.
Yang benar
Mustaqim