SOALAN: Pencemaran alam sekitar mendatangkan pelbagai masalah kepada kita. Nyatakan jenis-jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku di sekeliling kita.
Jenis-jenis Pencemaran Alam Sekitar
Isu pencemaran alam sekitar kerap menjadi tajuk berita di televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana pencemaran alam sekitar didapati telah bertambah dari setahun ke setahun. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh ahli masyarakat. Terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar seperti pencemaran air laut, pencemaran udara dan pencemaran bunyi.
Pertama, pencemaran air laut boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia dan haiwan. Pencemaran ini telah menyebabkan hidupan laut seperti ikan, sotong dan udang mati. Pencemaran air laut berlaku kerana pembuangan sisa toksik dan pembuangan minyak hitam oleh kapal-kapal. Pencemaran ini juga boleh berlaku disebabkan tumpahan minyak akibat kebocoran kapal tangki minyak.
Kedua, pencemaran udara merupakan satu lagi jenis pencemaran alam sekitar. Pencemaran udara berlaku apabila banyak asap dikeluarkan oleh kenderaan seperti motosikal, kereta dan lori. Pencemaran udara juga boleh terjadi akibat aktiviti pembakaran hutan untuk tujuan pertanian. Akibatnya, pencemaran ini boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit yang berkaitan dengan pernafasan.
Di samping itu, pencemaran alam sekitar yang sering berlaku ialah pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi berlaku kerana sesetengah kenderaan mengeluarkan bunyi kuat yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Antara kenderaan yang mengeluarkan bunyi yang kuat ialah kapal terbang, motosikal dan lori. Pencemaran bunyi ini akan menyebabkan gegendang telinga kita menjadi rosak seterusnya mengakibatkan masalah pendengaran.
Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar. Pencemaran alam sekitar ini boleh mendatangkan banyak kesan buruk kepada kehidupan manusia dan haiwan. Pada pendapat saya, pihak kerajaan dan masyarakat hendaklah bekerjasama dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Sesungguhnya,
alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih sihat dan
negara dapat memajukan lagi sektor pelancongan.