Karangan Naratif: Air Dicencang Tidak Akan Putus

Soalan
Tulis sebuah karangan yang diakhiri dengan perenggan berikut:

          Kalau ikutkan hatiku, mahu sahaja aku memeluk wanita yang berdiri di hadapanku. Inilah orang yang kucari selama ini. Sudah terbayang olehku bagaimana untuk membalas budi wanita itu.     

* * *     

          Aku dan ibuku melabuhkan diri di atas tempat duduk kereta Proton Wira yang memutarkan rodanya menuju ke Cheras, Kuala Lumpur. Di belakang kereta itu diikuti oleh dua buah lori yang diisi penuh dengan barang-barang dan perabot-perabot yang membawa kenangan pahit. Tiga kenderaan itu bergerak tanpa henti, meluru dengan kelajuan infiniti menuju ke destinasi.

          "Mengapakah ibu menangis? Kita kan hendak tinggal di rumah baharu," aku bertanya, diriku diselimuti kegembiraan. Apakah yang ada pada seorang kanak-kanak kecil berumur empat tahun yang menjadi mangsa penceraian keluarga? Tidak dapat mendefinisikan maksud penceraian, dusta dan skandal kerana kekata itu belum tertera dalam kamus kehidupannya.

          Ibu mengesat air mata lantas mengukirkan segaris senyuman, namun senyuman itu tidak dapat menutup mendung yang menyeliputi wajahnya.

          "Tidak, ibu sedih kerana kita tidak lagi tinggal di Singapura." Ringkas.

          Tiba-tiba, matanya terbeliak bagaikan sebiji bola. Tangannya meluru ke arah bahu pemandu dan menolak-nolaknya sambil berteriak, "Pak Samad, hati-hati! Ada van di hadapan!!!" Namun, kata-kata itu ditenggelami kecemasan genting. Pemandu cuba sedaya upaya untuk memutarkan alat kemudi ke arah lain tetapi kesingkatan masa yang tidak mengizinkan merempuh kedua-dua kenderaan itu dengan ganas.

          "Ibu!" Teriakku sebaik sahaja aku ternampak beliau tercampak ke hadapan. Tempat duduk pemandu menghempap kaki dan kepalaku. Aku pengsan.

          Aku tersentak. Aku mengesat air mata yang deras mengalir, merentasi pipiku. Lamunanku lenyap dalam kemuraman suasana.

          "Mengapakah ibu sedang menangis? Adakah sesuatu yang sedang mengusik dan mengguris hati anakku?" soalan itu diujar dari bibir ayahku.

          "Tidak ada apa-apa," jawabku selamba.

          "Anakku teringatkan apa?"

          "Tiada apa-apa, ayah."

          "Anakku teringatkan ibumu, ya?" Tekaan itu meluru masuk ke gegendang telingaku. Aku menutup wajahku, tidak dapat menahan sebak di dada. 

          Hakikatnya ialah ibuku telah meninggalkan dunia. Itulah yang diberitahu ayah sebaik sahaja aku mencelikkan mataku di dalam rumah pangsapuri beliau di Singapura sepuluh tahun yang lalu.

          Walaupun hanya empat tahun masaku diluang bersama ibuku, aku dapat merasakan kemesraan dan kasih sayang yang dicurahkan olehnya tanpa henti. Suasana itu sangat berbeza dengan sepuluh tahun yang diluangkan di rumah serba besar dan lengkap ini, namun kasih sayang yang ingin ditemui belum hadir. Semua orang sibuk mengejar kekayaan dan kejayaan sehingga isi hati yang kekosongan ini lantas diabaikan.

          Cuti sekolah baru sahaja bermula. Kebosanan mula menguasai diriku yang kosong. Kehidupan di Singapura tiada ketenangan langsung. Tiba-tiba aku punya suatu idea yang munasabah lagi menarik. Aku mencari ayahku di serata rumah. Beliau berada di taman bersama ibu tiriku sedang meminum teh. Biskut dan kek coklat juga terhidang di atas meja kecil.

          Aku memberitahu ayah tentang ideaku. Beliau kelihatan berat hati untuk menyetujuinya tetapi setelah dipujuk olehku dan ibu tiriku, beliau mengangguk.

          Aku kini di kaki lima di Cheras, Kuala Lumpur. Dengan berpakaian ringkas, bercermin mata dan dilindungi topi, aku kian bebas memerhatikan keadaan yang sibuk di situ, tetapi diikuti oleh seorang pengawal wanita yang diarah oleh ayahku untuk turut serta.

          Bintik-bintk peluh mula bercambah di air mukaku. Tujahan matahari yang terik bagaikan membakar kulitku yang cerah. Aku dan pengawalku, Cik Liyani sedang rehat di kafetaria sambil menikmati kedinginan air yang kami pesan. Tiba-tiba, perhatianku tertumpu pada sebuah lukisan yang terletak kira-kira lapan meter dari kafetaria.

          Aku keluar dari kafetaria, diikuti oleh Cik Liyani, meninggalkan rezeki yang separuh habis. Lukisan itu... ialah wajahku! Aku melihat pelukisnya yang sedang sibuk menghasilkan karya-karya yang lain. Pelukis tersebut mempunyai tangan kodong di sebelah kiri. Namun, kecacatan itu tidak menghalangnya untuk mencipta keindahan.

          Pelukis itu menoleh ke arahku. Kuntum kegembiraan mengembang mekar di hatiku sekaligus menghalau debaran yang memukul dada.

          "Ibu!" jeritku gembiraku. Kegembiraan hatiku mengeluarkan manik-manik jernih dari birai kolam mataku. Dengan langkahku yang mantap dan penuh keyakinan, aku melintasi jalan raya menuju ke arah ibu kandungku yang sudah telah terpisah, tanpa menghiraukan Cik Liyana yang memanggilku. 

          "Ira, kereta!" Ibu memberiku amaran. Suara beliau yang lantang mengejutkan aku. Belum sempat aku menoleh ke arah kanan, suatu kuasa yang hebat menolak badanku lantas aku rebah ke atas jalan raya. Kepalaku terhentak ke atas jalan raya seperti yang kaca yang dihempas kuat ke batu.

          Aku dapat merasakan ramai orang berkerumun di sekelilingku. Penglihatanku amat pudar, tetapi hatiku dapat merasakan bahawa ibuku berada dekat denganku. Suasana lantas gelap dan sunyi.

          Kalau ikutkan hatiku, mahu sahaja aku memeluk wanita yang berdiri di hadapanku. Inilah orang yang kucari selama ini. Sudah terbayang olehku bagaimana untuk membalas budi wanita itu. [penutup -- kehendak soalan]



Hasil karya Cikgu Siti
sewaktu Cikgu berada di peringkat Menengah 2