Karangan Naratif: Abang yang Tersayang

          "Rila, gambar ini terjatuh dari buku panduan awak tadi." Bisikan Sheila, rakan sekelasku, memecah kesunyian di dalam bilik pelajar. (pendahuluan -- dialog)

          Aku menunduk malu kerana gambar itu tidak patut dilihat oleh orang lain. Sheila mengutip kertas-kertas dan penanya di meja lalu menuju ke tempat duduk di sebelahku. Dia menyelitkan gambar itu di bawah tanganku, merapikan kertas-kertasnya yang berselerak di atas meja dan merenung ke arah wajahku. Aku cuba menumpukan perhatian pada apa yang sedang aku lakukan dan tidak mengendahkannya. Pandangannya membuat aku berasa tidak selesa lalu aku berhenti menulis. Sheila menunjukkan gambar itu kepadaku lalu mengulum senyuman nipis melihat gambar seorang pemuda menerima segulung ijazah di atas pentas. Aku pasti Sheila terfikir itu gambar teman lelakiku. Dengan pantas, aku mengambil gambar itu daripada genggamannya.

          "Itu abang aku," aku menjawab.

          Setiap kali aku menatap gambar abangku, fikiranku menerawang jauh ke suatu masa dahulu ketika aku sekeluarga dihimpit kemiskinan. Kejayaan abangku telah merubah kehidupan kami sekeluarga sehingga kami menjadi senang sekarang.

          Kedua-dua orang tuaku jatuh sakit apabila usia aku hanya sepuluh tahun. Walaupun sakit, ibu dan ayahku tetap berusaha mencari rezeki dengan menjual kuih-muih yang dibuat di rumah. Selain daripada mereka, abang juga bekerja menghantar kuih-muih ke rumah-rumah pembeli.

          Abang sering tertekan dengan pelajarannya. Sebagai anak sulung, dia harus menyara kehidupan kami dan sebagai seorang pelajar, dia juga patut memikul tanggungjawab di sekolah. Walaupun aku masih kecil, aku tahu dilema yang dihadapi abang.

          Mataku terkebil-kebil melihat abang sering mengulang kaji pelajarannya sehingga larut malam. Ada kalanya, abang merehatkan kepalanya yang berbantalkan tangan kanannya di atas meja. Bunga-bunga kebimbangan menguntum di kelopak hatiku apabila aku dapat mendengar abang menangis teresak-esak. Baru aku sedar abang juga seperti orang lain. Dia juga ada perasaan seperti insan lain namun dia pandai menyimpan perasaannya kerana tidak mahu orang tua kami melihat kesedihannya. Aku hanya mampu memerhatikannya dari belakang. Abang mengesat air matanya lalu tergopoh-gapah ke tandas setelah menyedari aku sudah bangun. Aku bangkit dari tilam untuk melihat nota-nota abang. Sehelai kertas menarik perhatianku ketika itu.

         "Kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya. Ibu dan ayah, percayalah denganku. Kejayaanku kelak adalah untuk keluargaku yang tersayang."

          Aku amat terharu dengan kesungguhan abang. Setiap hari, dia akan menghantar kuih-muih ke rumah pelanggan kami lalu ke perpustakaan untuk mengulang kaji pelajarannya. Jadual abang sama setiap hari sehingga aku naik bosan tanpa kehadirannya di rumah. Abang memang bertekad hendak meraih segulung ijazah sehingga dia tidak mengendahkan pemakanannya, bak kata pepatah pipit pekak makan berhujan. Oleh sebab terlalu penat, abang jatuh sakit lalu dikejarkan ke hospital. Ibu bapaku terpaksa menanggung bil hospital yang mahal.

          Peristiwa itu membuat semangat abang semakin membara. Dia rasa bahawa dia telah membebankan ibu bapaku disebabkan kecelakaannya dan semakin terhutang budi kepada ibu dan ayah. Abang meneruskan tekadnya untuk berjaya dalam pelajaran tetapi dia lebih prihatin dengan kesihatannya. 

          Hati abang melonjak kegembiraan setelah dia dianugerahi segulung ijazah akhirnya. Dia ditawarkan jawatan yang tinggi dengan keputusannya yang cemerlang. Kejayaannya telah merubah kehidupan kami sekeluarga. Ibu dan ayah menjadi lebih sihat apabila kos rawatan mereka dibiayai abang.

          "Oh, abang awaklah yang menjadi tulang belakang awak untuk berjaya, rupanya," suara Sheila mengejutkan aku dari lamunan.

          Aku tersenyum mendengar kata-kata Sheila. Memang benar, abang bagai obor yang membakar semangatku agar terus gigih belajar. Aku mahu berjaya seperti abang. Abangku yang tersayang.



Hasil karya:
Shafawati Binte Muhd Subhi
Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim (2013)