Contoh E-mel Tidak Rasmi 1


Contoh Jawapan

Daripada: saiful@e-warkah.com
Kepada: jannah@e-warkah.com
Subjek: Cara-cara Menyelamatkan Bumi

Jannah

Saya khabar baik di sini. Awak pula apa khabar? Saya harap awak dan keluarga sihat selalu. Saya minta maaf kerana sibuk dengan kegiatan sekolah sehingga tidak sempat mengirim e-mel kepada awak. Saya akan senaraikan beberapa cara untuk menyelamatkan bumi kita ini dan kesannya sekiranya kita melakukan perkara-perkara yang disarankan.

Pertama, saya sarankan supaya awak selalu menaiki pengangkutan awam (sebut). Pengangkutan awam akan mengurangkan pencemaran udara yang berlaku disebabkan asap yang dikeluarkan dari ekzos kenderaan seperti kereta dan lori (jelas). Misalnya, awak boleh mengajak keluarga awak untuk menaiki pengangkutan awam jika awak hendak keluar bersiar-siar pada hujung minggu (kukuh). Dengan cara ini, kualiti udara akan meningkat kerana tidak dicemar asap dari ekzos kenderaan peribadi (simpul).

Selanjutnya, awak juga boleh memastikan bahawa awak menjaga kebersihan air. Penjagaan kualiti air adalah penting kerana kehidupan laut akan terjejas jika kita tidak menjaga kebersihan air. Contohnya, jika awak berada di pantai, pastikan awak tidak membuang sampah ke dalam laut. Perbuatan sedemikian akan mengurangkan pencemaran air dan menyumbang pada keseimbangan ekosistem.

Akhir sekali, saya mengesyorkan agar awak menjalankan kempen di sekolah tentang kepentingan menyelamatkan bumi. Awak boleh lancarkan kempen ini sewaktu perhimpunan sekolah. Misalnya, awak boleh menayangkan video tentang pencemaran alam dan dapatkan rakan-rakan sekolah untuk ambil bahagian di dalam kempen tersebut. Dengan cara ini, rakan-rakan sekolah dapat meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan menyelamatkan bumi secara meluas dan berkesan.

Sampai di sini sahaja kiriman e-mel saya kepada awak. Saya harap saranan-saranan saya ini dapat membantu awak dalam usaha menyelamatkan bumi kita ini. Sehingga kita bertemu lagi.


Salam hormat
Saiful